Tuesday, October 18, 2011

Capaian ilmu

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. terjumpa post yg menarik dari facebook ustaz kawakib_duriyah. Saya rasa manfaatnya sangat banyak.. Jadi, saya ingin kongsi cepat-cepat di sini.

Jazakallahu khairan kathiran ya ustaz.. :)


--------------


Al-Muzani adalah salah seorang murid Imam al-Syafie. Beliau berkata, "Jika ada orang yang dapat mengeluarkan kegusaran hati dan segala yang mengotorkan hati tentang perkara aqidah maka Imam al-Syafie adalah orangnya."

Beliau menyambung, "Aku pernah bertemu dengan beliau sewaktu beliau berada di dalam Masjid Jami' di Mesir. Apabila aku bersimpuh di hadapan beliau, langsung aku berkata, "Dalam hatiku terdetik sebuah persoalan tentang tauhid yang mengganggu hatiku. Saya tahu tidak ada orang yang memiliki ilmu sebagai mana tuan miliki. Bagaimana jawapan tuan menurut ilmu yang tuan miliki?"

Imam al-Syafie nampak berang lalu berkata, "Tahukah kamu di mana kamu berada sekarang?" Aku menjawab, "Tahu." Beliau melanjutkan, "Ini adalah tempat di mana Firaun ditenggelamkan. Adakah kamu pernah mendengar Rasulullah SAW memerintahkan bertanya masalah itu?" Aku menjawab, "Tidak." Beliau bertanya lagi, "Adakah para sahabat pernah berbincang hal itu?" Aku menjawab, "Tidak."

Beliau bertanya lagi, "Kamu tahu berapa jumlah bintang di langit?" Aku menjawab, "Tidak." Beliau bertanya lagi, "Bintang yang kamu tahu jenisnya, waktu terbit, waktu tenggelamnya, tahukah kamu dari apa ia diciptakan?" Aku menjawab, "Tidak."

Beliau berkata, "Sesuatu dari makhluk ini yang kamu lihat dengan mata kamu sendiri pun tidak tahu, adakah kamu mahu bertanya tentang Ilmu Sang Pencipta?"

Kemudian beliau bertanyakan aku tentang persoalan wudhu'. Aku keliru menjawabnya. Kemudian beliau mengembangkan persoalan itu kepada empat persoalan pula. Tidak ada satupun aku jawab dengan baik. Lalu beliau berkata, "Persoalan yang kamu perlukan sehari semalam sebanyak lima kali sudah tidak mantap, lalu kamu mahu memaksa diri kamu untuk bertanya tentang Ilmu Maha Pencipta? Jika terdetik lagi di hati kamu (tentang aqidah), kembalilah kepada Allah dan firmanNya;

"Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran."




  (al-Baqarah: 163-164)



Sumber gambar diperoleh : http://monsterlayer.com/


Maka jadikan wujudnya makhluk itu sebagai bukti adanya Pencipta. Janganlah kamu memaksakan diri untuk mencapai ilmu yang tidak mungkin kamu capai dengan akalmu. "

"Setelah itu, aku betul-betul insaf."




Sumber ; Siyar A'lam al-Nubala'.

No comments: